Mencari Yang Terbaik

Hari ini sebahagian dari kita masih tercari-cari haluan hidup samada positif atau sebaliknya. Ramai yang gagal kerana silap pengkiraan mahupun tersasar. Namun ada yang berjaya tapi masih gagal menghadapi kenyataan kerana masih ada yang tidak kena. Hakikatnya kita lupa sifat kehambaan yang ada pada diri lantas membelakangi Allah dengan lupa bersyukur atas nikmatNya. Mari kita renung kembali perkara-perkara yang positif dan negatif untuk kita ambil iktibar dimana kesilapan yang telah kita lakukan atas sebab diluar kesedaran kita sebelum kita mula menyalahkan yang lain

Friday, May 17, 2013

Jangan Biarkan Sibuk Melekakan Kita


Pantasnya waktu bergerak, rasaya baru semalam hari isnin dan hari ini sudah kembali hari jumaat. Entah apa yang kita sibukkan yang nyata kita memang amat sibuk hingga masa berlalu begitu saja tanpa kita sedari. Waktu tetap 24jam sehari semalam, tanpa ada perubahan sejak azali lagi, bagaimana dikatakan waktu pantas bergerak. Sejujurnya memang kita sibuk dan leka dengan kelekaan dunia, hingga kita lupa melihat perkara yang tersirat dari tersurat. Biasa terdetik dihati bila merenungi hidup ini, sampai bila kita terus begini dan apa yang sebenarnya yang kita cari ataupun nak pada kehidupan ini. Subhanallah, ampunkan aku Ya Allah!!!

Semua orang mahukan yang terbaik dalam segala perkara dalam hidup ini namun apakah kita hanya setakat mengharap tanpa ada tindakkan yang sepatutnya. Samada ayah atau ibu tentu mahukan anak-anaknya demikian tapi apakah langkah-langkah yang patut dilakukan. Kita mahu anak kita berbuat baik tetapi bagaimana kita, apakah kita sudah melakukan yang terbaik supaya menjadi contoh kepada mereka. Mungkin ramai yang berkata,”bagaimana acuan begitulah kuihnya”. Memang betul tetapi untuk menjadikan kuih itu sedap terpulang pada kita bagaimana nak mengadunnya, walau terbentuk dari acuan namun keenakkannya bergantung kepada kita menambah atau mengurangkan resepinya. Begitulah juga dalam mendidik anak-anak kita. Jangan biarkan ada ruang untuk mereka tersasar daripada membentuk keperibadian diri yang tinggi dan murni. Hari ini terlalu ramai kita lihat jenis anak-anak seperti, “Kita kencing berdiri, anak kencing berlari”. Jadi seeloknya jadikan diri sebagai contoh yang baik bagi mereka.

Kalau kita mengajar sambil duduk,
Anak belajar sambil mengantuk,

Kalau kita mengajar sambil berlakon,
Anak belajar dengan tekun,

Kalau kita mengajar tanpa alat,
Anak belajar dengan ralat,

Kalau kita mengajar banyak bercakap,
Ada Anak tambah gagap,

Kalau kita pemudahcara,
Ramai Anak pandai berbicara,

Kalau kita mengajar tanpa menilai,
Tak akan tahu Anak lemah dan pandai,

Kalau kita tunggu diarah,
Semua kerja kena kerah,

Kalau kita kurang mengajar,
Dapatlah Anak kurang ajar,

Kalau kita kurang merancang,
Di bilik darjah banyak temberang,

Kalau kita suka berdamping,
Semua Anak dapat dibimbing,

Kalau kita berbudi bahasa,
Dikenang orang sepanjang masa.

Kita mencari rezeki sehingga lupa pada tiang agama, kita mencari rezeki sehingga lupa anak-anak yang memerlukan perhatian kita. Kita merasakan sudah cukup dengan menghantar anak-anak ke sekolah agama, cukup lah dengan makan minum yang dimasak oleh pembantu rumah, cukup segala wang saku buat bekalan di kantin, cukuplah dengan semua barang-barang yang disediakan di rumah, bilik anak yang tersergam indah, Sony PSP peneman anak kita di kala kita tiada. Cukup kah? Benarkah?

Jangan kita terlewat mendidik, masa kita mendidik anak dengan baik dan tegas adalah semasa mereka berumur 7 hingga 14 tahun. Jika masa ini kita abaikan, bila dah burumur 14 tahun baru kita sedar anak kita menyimpang jauh dari landasan yang sepatutnya, kita sudah terlewat! Kita lupa nak lihat benarkan anak kita sudah boleh bersolat kerana menunggu masa balighnya, kita pasti menyesal.

Marilah kita sama-sama membuat perubahan pada diri kita demi anak- anak kurniaan Ilahi... Kita berubah kerana cintakan Ilahi, umur makin meningkat, masa semakin mencemburui, ajal bila-bila sahaja pasti tiba pada waktu yang dijanjikan waktu yang kita sendiri tidak tahu bila.. esok kah? malam ini kah? satu minit lagikah?... Adakah pada masa kita bertemu Ilahi kita dapat menjawab pertanyaan di mana tanggungjawab kita mendidik anak-anak , jika anak-anak dibiar sepi si ibu di biarkan nafsu dunia terus menguasi diri? Bolehkah kita manjawab tak cukup masa sebab sibuk mencari rezeki? benarkah mencari rezeki atau rezeki kita rasakan tak pernah cukup2 , kita rasakan tak pernah puas apa yang telah dikurniakan oleh Ilahi..

Monday, May 13, 2013

Salam Ukhwah, Salam Kemuliaan dan Salam Muhabbah


Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama namun tiada siapa yang tahu sudah berapa jauh kita melangkah, mungkin kalau dikira kita sudah mengelilingi dunia yang fana ini, tiada siapa yang tahu. Yang kita tahu kita tetap terus melangkah dan melangkah yang penamatnya adalah bila roh dan jasad bercerai. Maka tamatlah satu kisah dalam sebuah kehidupan seorang insan dipersinggahan sementaranya berakhir dipusara.

Tidak ramai yang sedar kita dibahagikan dalam dua kehidupan dunia iaitu siang dan malam yang silih berganti. Oleh kerana kelekaan atau kesibukan kita hanya mampu mengira detik, minit, jam, hari, minggu, bulan dan tahun, akhirnya tanpa kita sedari dari umur satu hari, saat ini kita mungkin sudah jauh berusia. Apa pun kita perlu bersyukur nikmat Allah SWT yang terlalu banyak untuk kita hitung. Namun sebagai manusia sukar untuk mendapat kepuasan hidup kerana apa yang kita nak belum tentu Allah beri tetapi Allah sediakan apa yang kita perlu.

Adakala kita sendiri tertanya-tanya dimana hilangnya matahari, kemudian Allah datangkan guruh, petir dan kilat membuat kita gentar dan takut kejadian Allah ciptaanNya, puas kita menunggu, mengharap dan mencari dimana matahari kita supaya dunia menjadi cerah kembali, rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi yang indah bagi mengubat kekalutan hati. Begitulah pusingan kejadian alam Allah ciptakan untuk kita renungkan.

Salam Ukhwah, Salam Kemuliaan dan Salam Muhabbah buat pembaca semua, apa yang bakal saya coretkan dalam blog Metafora Andalusia adalah sebahagian perjalan hidup hamba Allah yang menempuhi berbagai kisah untuk dikongsikan. Andainya baik untuk dibuat pendoman dipersilakan berkongsi, jika sebaliknya maafkan saya jadikan ia sebagai sempadan supaya tidak terjebak buat kedua kalinya. Saya mendoakan anda semua berolehi kesejahteraan dunia dan akhirat serta dipermudahkan segala urusan dari Allah SWT… Insyaallah…